Every happiness comes a sacrifice.
I agree everything in this world and what we have now is not permanently.
Teringat kisah seorang pesara yang banyak pengajarannya.
Uncle A bukan nama sebenar salah satu bakal pesara yang berurusan dengan aku pada hari tersebut.
Aku berikan sedikit panduan secara lisan sebelum beliau memberi gambar saiz passport dan menandatangani di ruangan borang-borang persaraan.
Selesai beliau tandatangan borang-borang tersebut, aku menyusun tertib berpandukan senarai semak dan ketika itulah beliau membuka cerita.
Uncle tersebut merenung wajahku, aku mengenali anak beliau, seorang yang ayu, lembut, berpendidikan dan berkerja kuat. Beliau bercerita dia bangga dengan semua anaknya. Tetapi yang paling dia banggakan ialah anak perempuannya yang sulung. Anaknya itu adalah anak contoh kepada adik-adiknya. Anak tersebut sewaktu kecil rapat dengannya, kemana saja dia mengikutinya. Anak tersebut membesar dan menyambung pelajaran di menara gading. Mungkin kerana beban dan sedikit tekanan semasa belajar di kampus menyebabkan berat badan anaknya semakin susut. Namun begitu bagi si Uncle dia tetap anak perempuannya yang comel.
Uncle tersebut mengeluarkan 2 keping gambar lama dari poket dompetnya. Sebuah gambar dia bersama keluarganya dan sebuah lagi gambar anak-anaknya. Dia menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada ku. Tidak lupa juga dia menunjukkan anak perempuan kesayangannya kepada ku. "Lihatlah betapa montelnya dia semasa kecil". Aku senyum mengiyakan kata-kata Uncle tersebut.
Seketika dia menarik nafas dan berkata.
"Namun semuanya telah berubah apabila saya membuat keputusan untuk membina keluarga baharu. Sejak itu hubungan kami sekeluarga menjadi keruh dan dingin, anak saya yang celoteh kini menjadi pendiam. Kami jarang bertutur sapa."
"Bagi orang lain mungkin menyalahkan dia bersikap tidak menghormati orang tua. Tetapi sebenarnya Uncle yang salah. Uncle memilih untuk menghancurkan kebahagiaan rumah tangga yang sedia ada dengan memilih untuk membina rumah tangga yang baharu. Ini adalah harga yang Uncle harus bayar sampai Uncle mati."
"Sebelum anak Uncle kahwin dengan suami yang dia kahwin sekarang, dia pernah bawa ke rumah tunjukkan pada Uncle. Dia tunjuk bukan minta persetujuan dari Uncle tapi beritahu yang mereka berdua akan berkahwin. Bagaimanapun Uncle tahu dia lelaki baik sebab mereka sudah berkawan lama sejak di Universiti. Uncle kagum dengan dia yang menjaga anak uncle dengan baik. Jadi Uncle bersetuju walaupun tidak ditanya."
"Uncle tidak harapkan penghormatan dari anak-anak Uncle. Tapi Uncle rindu dengan kehidupan bersama mereka sebelum ini. Uncle mahu berkumpul dan berbual-bual seperti dulu."
"Kerana itu Uncle bawa gambar-gambar ini di dalam dompet Uncle. Kalau Uncle rindu mereka Uncle akan keluarkan dan tengok balik meskipun tidak boleh mengembalikan masa yang lalu."
Aku mendengar sambil menganguk. Menganguk bukan bermaksud setuju tapi itu adalah refleks normal bahasa tubuh ketika fokus sedang mendengar sesuatu.
Sebagai anak perempuan aku faham perasaan anak perempuan beliau tersebut. Tidak sangka di sebalik sifat anak perempuan tersebut yang tenang, ceria dan rajin di tempat kerja ada kisah yang menyiat hati.
Mengingat kembali kisah si Uncle seperti kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Oleh itu sayangilah keluarga kerana tidak semestinya apabila bina keluarga yang baru kita boleh memiliki keluarga yang sama seperti dahulu. Realiti hidup untuk mendapatkan sesuatu yang baru kita perlu melepaskan sesuatu yang lama kerana di dalam dunia ini kita tidak boleh memiliki kedua-duanya sekaligus.
Kerana kebahagiaan itu memerlukan sebuah pengorbanan.