Allahumma innaka affuwwun tuhhibul afwa fa’fu anna.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih pengacara majlis yang budiman.
Salam hormat kepada Yang Berbahagia Datuk dan Datin.
Salam Ramadan Ke-16 buat para muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat yang dirahmati Allah
InshaAllah 4 malam lagi kita akan bertemu dengan 10 malam terakhir ramadan DAN bermulalah pencarian Lailatul Qadar. Oleh itu terimalah sajak yang bertajuk :
APA YANG DIKEJAR PADA MALAM QADAR
Dipetik daripada Dewan Sastera karya Awang Sariyan.
Saban tahun kita diingatkan oleh pendakwah dan pentazkirah,
Betapa besarnya fadilat malam Qadar
Ganjaran lebih seribu purnama
Menyamai 80 tahun lebih
Bagi setiap amal kebajikan.
Maka berlumba-lumba kita kerjakan Ibadah sunat pelengkap ibadah fardu
Menghidupkan malam dengan ibadah sunat,
Menyengkang mata melawan keletihan,
Untuk meraih ganjaran berlipat ganda.
Pernahkah kita bertanya kepada diri dengan amal ibadat dilipatgandakan,
Luar biasa semangat dan perbuatan
Adakah rasa kasihan belas kepada fakir miskin dilipatgandakan dengan infak tanda ihsan?
Adakah rasa kasih sayang kepada anak yatim dilipatgandakan dengan menyantuni dan menghiburkan mereka?
Adakah menghindari sifat takabur dilipatgandakan?
Adakah menghindari salah guna kuasa dilipatgandakan?
Adakah menghindari rasuah dilipatgandakan?
Adakah menghindari umpatan dilipatgandakan?
Adakah menghindari cercaan dilipatgandakan?
Adakah menghindari fitnah dilipatgandakan?
Adakah menghindari buruk sangka dilipatgandakan?
Adakah menghindari rasa hasad dilipatgandakan?
Adakah menghindari sifat haloba dilipatgandakan?
Adakah menghindari perseteruan dilipatgandakan?
Adakah menghindari sifat ujub dilipatgandakan?
Adakah menghindari sifat riyak dilipatgandakan?
Adakah menghindari ekonomi hitam dilipatgandakan?
Adakah menghindari nepotisma dilipatgandakan?
Adakah menghindari favoritisma dilipatgandakan?
Adakah menghindari kronisma dilipatgandakan?
Adakah menghindari kleptomania dilipatgandakan?
Kejarlah malam Qadar yang penuh fadilat dan ganjaran
Dengan amal kebajikan yang jelas dan luas.
Bukan sekadar amal sekitar diri untuk mengharapkan masuk ke syurga sendiri.
Tetapi dengan mengasuh diri ,
Membersihkan jiwa dan hati ,
Berperi laku penuh insani ,
Peka dan prihatin akan tuntutan Ilahi.
Menjaga hablum minallah
Menjaga jua hablum minannas
Kerana syurga tidak dijanjikan
Untuk sang abid yang melupakan
Taklif kepada Tuhan dan
Taklif kepada sesama insan dan
Segala ciptaan.
Wabillahitaufik wal hidayah
Wassalamualaikum
Warahmatullah
Wabarakatuh
Terima kasih.